AGENDAJENAYAH

Lelaki warga Pakistan mengaku salah rogol, rompak wanita di jejantas KTM Serdang

PETALING JAYA, 23 JAN: Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan merompak seorang wanita di jejantas Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, dua minggu lepas.

Muhamad Mudasar, 23, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Urdu di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ke atas seorang wanita berusia 29 tahun dan meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan mengacukan sebilah pisau di jejantas berkenaan pada 12.45 tengah malam 14 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Muhamad turut berdepan pertuduhan merompak telefon bimbit serta wang tunai RM80 milik mangsa menggunakan sebilah pisau di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa bersama-sama rakan senegaranya, Muhammad Waqas, 29, merompak dua telefon bimbit bernilai RM2,070 milik seorang wanita berusia 20 tahun menggunakan sebilah pisau di tempat sama pada 11.15 malam 30 Dis lepas.

Muhamad mengaku bersalah manakala rakannya yang menangis sejurus pertuduhan dibacakan, minta dibicarakan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk menjatuhkan hukuman ke atas Muhamad dan tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh.

Mahkamah menetapkan 26 Feb untuk menjatuhkan hukuman ke atas Muhamad dan sebutan bagi kes rakannya.

— BERNAMA


Pengarang :