Aksi perlawanan keempat Liga Super Wanita antara FC Spicegals dan Negeri Sembilan FA di Radia Arena A, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 19 Februari 2023. Foto Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

Liga Super perkasa pembangunan bola sepak akar umbi wanita

KLANG, 29 JAN: Kejohanan Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bermula 3 Februari bertujuan memperkasa pembangunan akar umbi bola sepak wanita ke peringkat lebih baik.

Setiausaha Agungnya Izrin Nabil Ismail turut yakin edisi ketiga kejohanan itu mampu mengesan lebih banyak pemain berpotensi untuk mewakili Selangor dan pasukan kebangsaan.

Beliau menjelaskan edisi musim lalu menjadi pemangkin kepada bakat baharu untuk menyinar seperti Haniz Zahra, 13, selain Qaseh Rania, 14 dan beberapa nama lain mewakili pasukan luar.

“Pemain edisi lepas seperti Intan Sarah, Nur Lyana Soberi, Nur Azurin Mazlan dan Nur Mekah Rania kini menyertai pasukan luar negara setelah bakat mereka dicungkil dalam kejohanan ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran dan sesi undian kejohanan Liga Super Wanita FAS 2024 musim ketiga di Hotel Wyndham Acmar di sini, malam tadi.

Pemain Harapan Baharu FAS 2023 Haniz Zahra Ab Halim

Izrin Nabil turut menyasar untuk meningkatkan nilai komersil bola sepak wanita dengan menambah baik format kejohanan dan menyiar semua perlawanan secara langsung di media sosial.

Jelasnya, momentum tahun ini perlu diteruskan seperti edisi lalu yang merekodkan 7.2 juta tontonan perlawanan di semua platform media sosial dan 10,000 penonton di stadium.

“Edisi kali ini ditambah baik dengan dua kejohanan ditambah (Piala Konfederasi dan Piala FA) untuk lebih banyak perlawanan disiar secara langsung bagi promosi nilai setiap pasukan yang bertanding.

“Apabila kelab dapat publisiti, sudah pasti ia akan memberi manfaat kepada pasukan termasuklah dalam hal menjana pendapatan,” katanya.

Sementara itu, pemenang anugerah Pemain Harapan Baharu Liga Super FAS 2023 Haniz Zahra Ab Halim, 14, berkata kejohanan tersebut memberi ruang buatnya bersaing dengan lebih kompetitif.

Mula menceburkan diri dalam sukan bola sepak pada usia lapan tahun, jelasnya, bakatnya dicungkil pasukan PNSB dari Akademi Tunas Petaling Perdana yang diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Saya beraksi sebagai penyerang pasukan menjaring dua gol musim lalu sehingga merangkul anugerah pemain terbaik. Ia memberi motivasi untuk membawa pasukan cipta kejayaan pada edisi kali ini,” katanya.

 


Pengarang :