Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berucap ketika majlis pelancaran Pelan Antirasuah Mais di Masjid Negeri, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mais pastikan wang zakat tidak diseleweng walau sesen

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan memastikan tiada penyelewengan wang zakat yang diserahkan kepada agensi agama bawah pentadbirannya.

Pengerusinya berkata agensi yang menguruskan zakat perlu memberi keyakinan kepada penyumbang bahawa wang mereka diurus dengan baik tanpa salah guna meskipun satu sen.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu di negeri ini.

“Dalam laporan media, ada wang zakat sebuah Majlis Agama Islam Negeri diselewengkan dalam jumlah besar dan termasuk juga (kes) di Selangor tetapi tidak banyak.

“Kita tidak mahu perkara itu berulang, kita ambil tindakan kepada sesiapa terbabit dan memberi ingatan supaya perbuatan itu jangan diulang lagi dalam institusi agama Islam Selangor,” katanya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof merasmikan dan menandatangani plak pelancaran Pelan Anti Rasuah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Masjid Negeri, Shah Alam pada 17 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau bercakap dalam sidang media selepas majlis perutusan pengerusi Mais 2024 dan pelancaran pelan antirasuah di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz turut menekankan agensi bawah Mais perlu memiliki sifat integriti tinggi dan amanah kerana banyak menerima sumbangan masyarakat.

“Kadangkala sumbangan itu berbentuk tunai, jika kita tidak amanah mungkin kita hilang pertimbangan dan kita guna sama ada sepenuhnya atau sebahagian untuk kepentingan diri.

“Walaupun satu sen duit itu untuk Mais, sama ada sedekah, zakat, wakaf atau sumbangan lain kepada anak yatim atau bencana alam, kita akaunkan dengan betul dan tidak diselewengkan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mendedahkan sepasang suami isteri menyeleweng kutipan zakat RM9.62 juta.

Pasangan berusia 50 dan 53 tahun itu berperanan sebagai ejen kutipan zakat secara dalam talian untuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).


Pengarang :