Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Malaysia untuk mendukung langkah Afrika Selatan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) yang meminta ICJ mengeluarkan langkah sementara melindungi rakyat Palestin, termasuk menyeru Israel segera menghentikan serangan. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Malaysia dukung langkah Afrika Selatan di ICJ terhadap Israel

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Malaysia mengulangi pendirian untuk mendukung langkah Afrika Selatan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) bersama negara sahabat lain dalam menegakkan keadilan dan membenam kezaliman Israel di Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata tindakan berani Afrika Selatan semestinya didukung oleh seluruh dunia serta warga yang waras, dan Israel mesti dibicarakan serta kekejaman mereka mesti didobrak dengan pelbagai cara yang ada.

“Negara-negara barat seolah ingin terus bermuka-muka dan mengambil pendirian selamat ketimbang mengheret Israel ke muka dan neraca pengadilan yang sewajarnya.

“Mantra ‘hak asasi manusia’ yang sering dihala ke negara-negara yang tidak sebulu dengan mereka kini tidak lagi kedengaran,” katanya.

Anwar berkata gelombang penentangan terhadap Israel yang disaksikan hari ini adalah yang terbesar sejak demonstrasi raksasa menentang Perang Vietnam dan pencerobohan ke atas Iraq serta Afghanistan dahulu.

Menurutnya, dunia menyaksikan 100 hari pembantaian tanpa henti rejim biadab Israel ke atas warga Palestin sejak 7 Oktober lalu.

Anwar berkata ia adalah kesinambungan daripada lebih tujuh dekad kezaliman yang diterjemahkan secara jelas melalui pendirian rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kenyataan serta pandangan perkauman sisi kanan yang dihambur pemimpin Zionis ke atas rakyat Palestin tambah menjelas sikap melampau Zionis Israel.

“Sebagai rakyat, meski dinafikan segala hak dan asas kehidupan serta sentiasa dipaksa untuk hidup dalam ketakutan, rakyat Palestin tetap terus keras mempertahan tanah air dan maruah bangsa,” kata Anwar.

Beliau berkata setakat hari ini, sejak 7 Oktober lalu, Israel membunuh 24,100 rakyat yang tidak berdosa dan Israel terus dipencilkan warga serta komuniti antarabangsa.

Afrika Selatan memfailkan kes itu pada Disember, menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza dan meminta ICJ mengeluarkan langkah sementara untuk melindungi rakyat Palestin, termasuk menyeru Israel segera menghentikan serangan.

Afrika Selatan mengemukakan bukti kukuh mengenai niat dan perbuatan genosid yang melanggar Konvensyen Genosid.

– BERNAMA


Pengarang :