AGENDAJENAYAH

Mamat Exist didakwa miliki, ambil dadah metamfetamina

JOHOR BAHRU, 23 JAN: Vokalis kumpulan Exist Mamat sekali lagi dihadapkan ke mahkamah di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki dan mengambil dadah jenis metamfetamina, lima tahun lepas.

Mamat, atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Fatimah Zahari dan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Penyanyi itu didakwa memberi kepada diri sendiri dadah jenis metamfetamina di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada 2 pagi 9 Sept 2019 mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(b) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan.

Dia juga didakwa memiliki dadah jenis metamfetamina seberat 0.17 gram ketika diperiksa polis di Jalan Camar 1/3, Taman Perling di sini pada 11.35 malam 8 Sept 2019 mengikut Seksyen 12(2) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bariah Jalil dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaei manakala Mamat diwakili peguam Azlina Abdul Aziz.

Pada prosiding hari ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pembelaan untuk merujuk tertuduh ke Hospital Permai bagi mendapatkan rawatan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, kedua-dua mahkamah tidak membenarkan Mamat diikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan menetapkan 22 Feb ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan.

Sementara itu, Mamat ketika ditemui pemberita berkata dia berharap peminat memberi sokongan untuknya meneruskan aktiviti seni.

Pada 4 Dis 2018, penyanyi itu disabitkan oleh Mahkamah Majistret di sini bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) dan dihukum denda RM2,000 atau penjara dua bulan serta dua tahun pengawasan.

Pada 7 Nov 2016, Mamat juga dikenakan hukuman denda RM1,200 atau penjara empat bulan dan dua tahun pengawasan atas kesalahan sama.

— BERNAMA


Pengarang :