AGENDANASIONAL

Mandi di paya bersama rakan, remaja lelaki mati lemas

DUNGUN, 5 JAN: Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun ditemukan lemas ketika mandi-manda bersama tiga rakannya di kawasan paya berhampiran Pantai Rantau Abang di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Sharizal Shamsudin berkata mayat Muhammad Hazrie Ezani Abdullah, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Rantau Abang, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat di Air pada 6.10 petang.

Beliau berkata mayat mangsa yang ditemukan pada kedalaman empat meter menggunakan kaedah pencarian di permukaan itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pada 5.13 petang tadi, pihak bomba menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan seorang remaja telah hilang dihanyutkan air ketika mandi-manda bersama tiga rakannya di kawasan sekitar Pantai Rantau Abang.

“Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Chukai serta Kuala Terengganu telah dikejarkan ke lokasi kejadian bersama empat jentera untuk operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sharizal turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan menghentikan seketika aktiviti air di kawasan berisiko buat masa ini kerana monsun timur laut atau musim tengkujuh belum berakhir. — BERNAMA


Pengarang :