Peniaga, Kamaruzaman Othman, 44, menyusun tong gas di kedainya selepas rumahnya dinaiki air berikutan hujan lebat ketika tinjauan di Kampung Nibong, Kuala Berang pada 25 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir tiga negeri menurun kepada 1,604 orang petang tadi

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Bilangan mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang menurun kepada 1,604 orang di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang tadi berbanding 2,626 mangsa di 31 PPS tengah hari tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 1,067 di 13 PPS dengan 603 mangsa di tujuh PPS di Setiu, 183 mangsa di tiga PPS di Hulu Terengganu, 268 mangsa di dua PPS di Dungun dan satu PPS di Besut menempatkan 13 mangsa.

Peniaga, Kamaruzaman Othman, 44, (dua, kiri) meneruskan perniagaan walaupun dalam keadaan banjir ketika tinjauan di Kampung Nibong, Kuala Berang pada 25 Januari 2024. Foto BERNAMA

Di Kelantan, sebuah PPS dibuka di Kuala Krai menempatkan 27 mangsa dan di Pasir Puteh kekal 350 orang di dua PPS, manakala di Pahang, 160 mangsa berlindung di satu PPS di Kuantan.

Sementara itu, tinjauan di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Terengganu, Kedah, Pahang, Johor, Perlis dan Sabah.

Di Terengganu, sungai terlibat ialah Sungai Dungun, Sungai Terengganu dan Sungai Besut manakala di Kedah, Sungai Muda, Sik dan Sungai Kedah di Kota Setar serta Perlis di Sungai Arau.

Penduduk meredah banjir selepas rumahnya dinaiki air berikutan hujan lebat ketika tinjauan di Kampung Nibong, Kuala Berang pada 25 Januari 2024. Foto BERNAMA

Di Pahang, Sungai Pahang di Bera, Sungai Rompin dan Sungai Kuantan, manakala di Johor di Sungai Sarang Buaya di Muar dan Sungai Johor di Kota Tinggi serta di Sabah, Sungai Kinabatangan.

Nadma turut memaklumkan 19 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh, antaranya di Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang; Jalan Jamaluang-Batu Pahat di Mersing, Johor dan Trolak Selatan di Batang Padang, Perak.

– BERNAMA


Pengarang :