GOMBAK, 1 JAN: Kira-kira 1,000 kalendar 2024 diedarkan Dato’ Menteri Besar kepada orang ramai di sekitar pasar Selayang Baru di sini, hari ini.
Dato’ Seri Amirudin Shari tiba jam 10.00 pagi ditemani kakitangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.
Amirudin berkata pengedaran kalendar itu memberi kemudahan kepada penduduk selain mengambil peluang mendekati masyarakat setempat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/MB6-500x335.jpg.webp)
“Rutin biasa saya setiap awal tahun pada hari cuti turun bertemu penduduk di kawasan tumpuan seperti pasar Selayang Baru ini selain melihat keadaan infrastruktur sekeliling premis serta memastikan ia dalam keadaan baik.
“Program edaran hari ini mendapat sambutan sangat baik daripada penduduk hasil hubungan akrab bersama mereka sejak saya menjadi wakil rakyat 15 tahun lalu,” katanya ketika ditemui.
Ahli Parlimen Gombak itu turut menikmati roti arab dicicah sardin dan teh tarik bersama pengunjung serta pemimpin setempat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/MB4-500x327.jpg.webp)
Beliau turut membeli ayam kampung dan ikan kembung ketika melawat peniaga pasar di tingkat bawah.
Amirudin yang meluangkan masa kira-kira sejam di pasar pagi itu turut memenuhi permintaan orang ramai dan peniaga yang ingin berswafoto bersamanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/MB9-500x329.jpg.webp)