Salah satu babak dalam telefilem Ayah Panggil Balik terbitan Kerajaan Selangor di set penggambaran di Rumah Cikgu Jenal, Jalan Sekolah, Morib, Banting pada 28 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB, EXCO tampil dalam telefilem penuh pengajaran sempena Aidilfitri

KUALA LANGAT, 29 JAN: Dato’ Menteri Besar bersama beberapa EXCO Kerajaan Negeri bakal membuat penampilan dalam telefilem Ayah Panggil Balik, yang ditayangkan khas sempena Syawal tahun ini.

Pengarahnya Che Mie berkata Dato’ Seri Amirudin Shari memegang watak penting sebagai Tuan Kamil di samping beberapa pelakon terkenal seperti Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud dan Syafie Naswip.

Selain konflik kekeluargaan, jelasnya, drama selama 120 minit itu turut menyelitkan skim Iltizam Selangor Penyayang (ISP) untuk manfaat rakyat dan menekankan perpaduan serta keharmonian.

“Dato’ Seri Amirudin akan tampil dalam banyak babak dan wataknya penting untuk menghidupkan jalan cerita. EXCO lain ialah Borhan Aman Shah, Dato’ Ng Suee Lim dan V Papparaidu.

Pengarah drama Ayah Panggil Balik Che Mie bercakap kepada media selepas sesi penggambaran di Rumah Cikgu Jenal, Jalan Sekolah, Morib, Hulu Langat pada 28 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Penampilan mereka sebagai simbolik rakyat berbilang kaum dan turut mempromosi ISP antaranya Inisiatif Roda Darul Ehsan, Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor dan bantuan perumahan,” katanya.

Che Mie berkata telefilem yang menjalani penggambaran selama 10 hari sekitar Kuala Langat dan Shah Alam akan ditayang pada minggu kedua raya dan sesuai untuk tontonan semua masyarakat.

“Kita yakin ramai akan menonton telefilem sarat dengan pengajaran ini. Waktu tayangan juga dilihat sesuai dan turut diulang tayang selepas itu,” katanya.

Ayah Panggil Balik mengisahkan konflik dihadapi keluarga Cikgu Zainal (Zaidi Omar) hingga terpaksa menghalau dua anaknya Fendi dan Husna (Syafie dan Amira Drummer) dari kampung.

Bagaimanapun, kehadiran Tuan Kamil membantu kedua-dua beradik itu hingga berjaya hidup di bandar, sekali gus merapatkan kembali silaturahim.

 


Pengarang :