Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Dato’ Ibrahim Md Yusof (dua,kanan) menyampaikan cenderahati kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua,kiri) menerusi kunjungan hormat perbadanan itu ke kediaman rasmi pada 9 Januari 2024. Foto Facebook PWS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB seru rakyat laksana wakaf, bantu pembangunan hartanah Islam

SHAH ALAM, 10 JAN: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat negeri ini melaksanakan ibadah wakaf bagi membantu pembangunan institusi hartanah yang memberi manfaat kepada umat Islam.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat boleh merujuk kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) untuk mengetahui maklumat lanjut berkaitan perkara itu.

“Di Selangor kita ada PWS yang akan menguruskan semua aset termasuk wang ingin diwakafkan bagi bangunan, institusi serta aset dan premis yang bermanfaat kepada umat Islam seperti masjid, sekolah atau bangunan.

“Justeru, saya menyeru kepada rakyat Selangor, anak syarikat dan pegawai di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri khususnya marilah kita melaksanakan wakaf dengan merujuk kepada PWS,“ katanya menerusi video dikongsikan perbadanan itu.

Semalam, Pengerusi PWS Dato’ Ibrahim Md Yusof bersama lima pegawainya mengadakan kunjungan hormat ke kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar.

Kunjungan bertujuan berkongsi maklumat berkenaan peranan PWS sebagai sebuah institusi wakaf di Selangor, hala tuju pembangunan berkenaan hartanah, ekonomi dan sosial masyarakat ummah melalui konsep wakaf agar dapat dilaksanakan seiring dengan misi dan visinya.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan berkenaan projek wakaf yang disarankan Amirudin dalam pembentangan belanjawan Selangor 2024 berhubung dana pembelian asrama pelajar negeri ini di Mesir dan galakan kakitangan dan anak syarikat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan ibadah wakaf.

Orang ramai yang ingin berwakaf di PWS boleh menyumbangkan menerusi laman sesawang https://fpx.wakafselangor.gov.my/.


Pengarang :