Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat barang disumbangkan kepada penerima pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan dan Kit Kesihatan Kepada Mangsa Banjir tajaan MBI di Surau Malabar Hidayatul Islam Selayang, Gombak pada 23 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI peruntuk RM1 juta jayakan program bakul makanan tahun ini

SHAH ALAM, 4 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM1 juta bagi menjayakan program sumbangan bakul makanan sepanjang tahun ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan Komunikasi Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata dana itu bagi membantu lebih ramai masyarakat kurang berkemampuan.

Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bercakap kepada Media Selangor selepas majlis sumbangan kepada 30 keluarga mangsa banjir di MPKK Kampung Batu 3, Semenyih, Hulu Langat pada 4 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini, agihan bakul makanan dibuat tetapi tiada peruntukan khas. Tahun ini, kita sediakan peruntukan khas di bawah sumbangan bakul makanan yang akan diagihkan mengikut keperluan terutama ketika musim perayaan.

“Dengan adanya program peruntukan khas ini, lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat dibantu sekali gus meringankan beban,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau turut memaklumkan sebanyak RM150,000 diperuntuk untuk pembelian komputer riba yang akan disumbangkan kepada mahasiswa Selangor kurang berkemampuan.

“Agihan komputer riba ini akan dilengkapi dengan kad modul pengenalan pelanggan (SIM) internet percuma selama 12 bulan.

“Malah, pemberian kad sim percuma ini juga diperluas kepada semua mahasiswa anak-anak Selangor di setiap universiti seluruh Malaysia, tidak khusus dalam negeri sahaja,” jelasnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr G Gunarajah (tiga dari kiri) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (empat dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan pada majlis sumbangan komputer riba kepada pelajar IPTA/IPTS B40 di Pusat Khidmat DUN Sentosa, Klang pada 22 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Dua tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan MBI memperuntuk RM18 juta untuk program CSR termasuk aktiviti ternakan korban, mahabbah haji dan program tuisyen rakyat dengan belanja RM6 juta.


Pengarang :