MBSA menjuarai Piala Sumbangsih 2024 selepas menewaskan MPSepang 2-1 di Arena MBSJ, Subang Jaya pada 21 Januari 2024. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

MBSA FC juara Piala Sumbangsih 2024, tewaskan MPSepang 2-1

SHAH ALAM, 22 JAN: MBSA memulakan musim 2024 penuh bergaya dengan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih menewaskan MPSepang 2-1 di Arena MBSJ, Subang Jaya semalam.

Juara Liga Super Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) itu bermula garang dengan beberapa percubaan bahaya ke kubu lawan dan membuka jaringan hasil tandukan penyerang Azizul Baharudin pada minit ke-27.

Skuad bimbingan Ismail Ibrahim terus menampilkan persembahan bertenaga dengan serangan bertali arus ke kubu lawan dan menjaringkan gol kedua menerusi rembatan rendah Basyir Ahmad pada minit ke-41.

Kealpaan benteng pertahanan MBSA membolehkan MPSepang merapatkan kedudukan 1-2 menerusi tandukan Azamuddin Ab Rasid hasil sepakan sudut pada minit ketujuh masa tambahan babak pertama.

Bersambung babak kedua, MPSepang selaku juara Piala FA FAS cuba mencari gol penyamaan untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun buntu merobek gawang lawan yang dikawal kemas Jamalulail Hassan.

 


Pengarang :