Permandangan bandar raya Shah Alam (gambar hiasan). Foto Arkib Selangorkini
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA rancang bangun taman seluas 20 ekar, lengkap kemudahan riadah

SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merancang membangunkan taman jajar (linear park) di sekitar Seksyen 15 yang dijadual bermula Jun.

Datuk Bandar Shah Alam berkata taman awam seluas 20 ekar dibangunkan dengan kos kira-kira RM4 juta itu dilengkapi pelbagai kemudahan riadah termasuk laluan berjoging, berbasikal dan kafe.

Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman bercakap ketika sidang media selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-11 di Dewan Perbandaran, Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita merancang taman awam ini hujung tahun lalu dan kini dalam proses penyediaan dokumentasi. Pembinaan taman ini dijangka bermula Jun atau selewatnya Julai depan.

“Selain itu, antara rancangan menuju sambutan jubli perak MBSA ialah projek mengindahkan semula landskap di pusat bandar, naik taraf taman rekreasi dan pembangunan taman rakyat,” kata Ir Cheremi Tarman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah sebagai datuk bandar dan 22 ahli majlis baharu di Wisma MBSA di sini, hari ini.

Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman memimpin ikrar angkat sumpah 22 ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang baharu dilantik bagi sesi 2024-2025 di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Cheremi turut memaklumkan MBSA menyediakan beberapa pelan perancangan strategik 2024-2025 merangkumi empat teras selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Empat teras ini meliputi 23 strategi utama antaranya termasuklah persekitaran mampan ke arah bandar rendah karbon dan kemakmuran sosio ekonomi bandar raya selain komuniti progresif , inklusif, bersih dan lestari serta kecemerlangan penyampaian berteraskan digitalisasi dan tadbir urus cekap.

“Teras satu hingga tiga menyasarkan kepada peningkatan tahap kualiti bandar raya dan kesejahteraan masyarakat manakala teras keempat pula fokus tadbir urus serta penyampaian cemerlang,” katanya.


Pengarang :