Orang ramai membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan PKNS, Shah Alam pada 3 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ sedia 25 tapak bazar Ramadan, ubah lokasi di Taman Puchong Prima

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SUBANG JAYA, 31 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan 25 tapak bazar Ramadan tahun ini membabitkan 1,560 petak jualan.

Datuk bandarnya juga berkata berlaku perubahan lokasi dari Jalan Prima 5/4 ke Jalan Prima 5/1, Taman Puchong Prima bagi mengatasi isu halangan sebelum ini.

“Kita cuba yang terbaik menyediakan lokasi yang selesa untuk 1,167 peniaga dan juga pengunjung sepanjang Ramadan tahun ini.

“Dengan kekuatan anggota penguat kuasa MBSJ, kita berharap semuanya berjalan lancar dan pengunjung juga dapat memberi kerjasama serta patuh dengan arahan yang ditetapkan,” kata Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim pada mesyuarat bulanan di ibu pejabat MBSJ hari ini.

Orang ramai membeli juadah di bazar Ramadan. Foto Facebook Majlis Bandaraya Subang Jaya

Beliau menjelaskan taklimat telah diadakan bersama peniaga bagi mengingatkan semula syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi terutama pematuhan tatacara operasi piawai yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara, Kerajaan Negeri dan MBSJ.

“Taklimat tersebut menekankan pematuhan kepada peraturan, pengendalian makanan terbaik dan efektif, amalan kitar semula, pengurusan sisa dan penggunaan sumber cekap serta amalan terbaik ke arah usahawan berjaya sepanjang menjalankan perniagaan di bulan Ramadan.

“Pengunjung juga digalakkan untuk membawa bekas makanan sendiri bagi mengelak penggunaan bahan plastik selain peniaga perlu memastikan barang niaga tidak ditinggalkan di tapak bazar,” katanya.


Pengarang :