Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan Inisiatif Pendigitalan Perkhidmatan Teras Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kementerian Kewangan pada 10 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Perbaharui lesen, cukai jalan di aplikasi MyJPJ bermula Februari

SHAH ALAM, 2 JAN: Orang ramai boleh memperbaharui cukai jalan kenderaan atau lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu (LMM) menerusi aplikasi MyJPJ bermula Februari ini.

Selain menjimatkan masa dan kos, menteri pengangkutan berkata kemudahan itu juga mengurangkan kesesakan urus niaga fizikal di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), lapor Berita Harian.

“Pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM melalui aplikasi ini akan dilaksanakan secara berfasa yang mana pada peringkat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara).

“Untuk menggalakkan penggunaan e-LMM, individu yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital ketika pembaharuan akan menikmati rebat RM5, bermula 1 Februari sehingga 31 Disember,” kata Anthony Loke.

Katanya, inisiatif itu tidak terpakai kepada warga asing atau pemegang pas, permit jangka masa panjang, kad pengenalan pemastautin sementara serta kad pengenalan pemastautin tetap.

Dalam pada itu, Loke memberitahu pemandu dan pemilik kenderaan yang belum bersedia sepanjang tempoh interim pendigitalan 2024 masih boleh memilih LKM dan LMM fizikal.

Jelasnya lagi, JPJ akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan dalam bentuk kertas keselamatan selepas stok lama di cawangan atau kiosk habis.

“LKM baharu ini tidak perlu dilekatkan atau dipamerkan pada cermin kenderaan sebelum ini, sebaliknya ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam,” katanya lagi.

 

 


Pengarang :