Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Aini Ahmad ketika menghadiri Karnival Mini Pembaharuan Lesen Perniagaan MPAJ pada 21 Disember 2023. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ peruntuk RM45 juta senggara kemudahan awam, cerun

AMPANG JAYA, 18 JAN : Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menganggarkan peruntukan kira-kira RM45 juta bagi kerja penyenggaraan kemudahan awam, tahun ini.

Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata peruntukan itu adalah daripada hasil MPAJ selain dana beberapa kementerian berkaitan termasuk Kerajaan Negeri.

“Dana ini akan digunakan untuk pembaikan infrastruktur awam di Ampang Jaya antaranya berkaitan cerun, pembaikan tandas, parit, longkang dan kiosk.

“Peruntukan tahun ini meningkat berbanding 2023 hanya RM23 juta. Selepas dilakukan pelarasan, kita dapati banyak infrastruktur perlu ditambah baik demi keselesaan penduduk di Ampang Jaya,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis penggal 2024-2025 di Menara MPAJ di sini.

Sebelum ini, MPAJ turut memaklumkan akan memantau rapi semua 356 cerun bawah pentadbirannya bagi memastikan tragedi Highland Towers tidak berulang.

MPAJ juga sudah melaksana kerja awalan pengurusan cerun yang baik sepanjang tahun 2023 terhadap 61 cerun berisiko tinggi dan sederhana.


Pengarang :