Sukarelawan Majlis Daerah Kota Tinggi dibantu anggota polis Kota Tinggi mengagihkan makanan kepada mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara sekitar Kota tinggi, Johor pada 8 Januari 2024. Foto Facebook Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT)
AGENDANASIONAL

Nadma: Mangsa bah Terengganu menurun, Pahang, Johor kekal

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus menurun manakala Pahang dan Johor pula kekal dengan jumlah keseluruhan 572 orang berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang ini berbanding 698 orang di enam PPS tengah hari tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), jumlah mangsa di Terengganu menurun kepada 521 mangsa daripada 170 keluarga yang masih ditempatkan di tiga PPS di Dungun, berbanding 647 mangsa daripada 194 keluarga tengah hari tadi.

Situasi di Pahang bagaimanapun tidak berubah dengan jumlah mangsa kekal 22 orang daripada lima keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di Rompin manakala di Johor kekal 29 orang daripada sembilan keluarga di sebuah PPS di Kota Tinggi.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Sungai terlibat ialah Sungai Johor di Kota Tinggi (Johor); Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah); Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan); Sungai Rompin dan Sungai Pahang di Bera dan Cameron Highlands (Pahang) dan Sungai Arau (Perlis).

Turut terlibat Sungai Kinabatangan (Sabah); Sungai Klang di Petaling (Selangor); Sungai Dungun dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

Nadma turut memaklumkan 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh, antaranya Jalan Lingkaran Kahang Barat di Kluang, Johor, Lebuhraya Kuantan-Segamat di Pekan, Pahang dan Trolak Selatan di Batang Padang, Perak.

– BERNAMA


Pengarang :