EXCO Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman (dua, kiri) menunjukkan contoh Kupon Jom Shopping Tahun Baru Cina di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 5 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri belanja RM4.78 juta agih 23,900 baucar Jom Shopping Tahun Baru Cina

SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 23,900 baucar beli-belah sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun ini membabitkan peruntukan RM4.78 juta.

EXCO pembasmian kemiskinan berkata setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 22 kawasan pembangkang menerima kuota antara 400 hingga 550 baucar mengikut populasi penduduk Cina di kawasan masing-masing.

EXCO Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman ketika sidang media Pemberian Kupon Jom Shopping Tahun Baru Cina di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 5 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Baucar paling banyak diagihkan di DUN Kinrara dan DUN Bandar Utama sebanyak 550. Ia akan diagihkan mulai 20 Januari hingga 9 Februari melalui pusat khidmat DUN masing-masing.

“Kita juga lantik wakil rakyat dan ahli Parlimen terdekat untuk menyelaras baucar ini kepada penduduk di kawasan pembangkang,” kata V Papparaidu pada sidang media di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Jelas Papparaidu, permohonan baucar Jom Shopping RM200 boleh dibuat di pejabat DUN bagi mereka yang mempunyai pendapatan bulanan isi rumah bawah RM3,000 dan pengundi Selangor.

“Manakala penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) serta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) tidak layak memohon.

“Belian barangan keperluan harian boleh dibuat di pasar raya terpilih seperti Giant, Econsave, TF Value-Mart, NSK Trading, Mydin, Best Fresh Mart, Lotus, Sri Ternak Food Mart, CLC dan Grand Union,” katanya.

Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan mengikut komponen kaum yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.

Selain Tahun Baharu Cina, inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut diberi kepada keluarga kurang mampu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

 

 


Pengarang :