Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura Skim Insurans Am Selangor (INSAN) kepada penerima ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Negeri selesai tuntutan skim insurans hampir RM1 juta babit 91 penerima

GOMBAK, 28 JAN: Kerajaan Negeri menyelesaikan bayaran tuntutan pampasan Skim Insurans Am Selangor (INSAN) berjumlah RM998,000 sejak diperkenalkan pada 2022.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata jumlah itu melibatkan 91 tuntutan pelbagai kes kemalangan dan kematian.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, pihaknya menerima 166 tuntutan namun 57 kes terpaksa ditolak berikutan tidak memenuhi syarat seperti tiada lesen kenderaan dan sebagainya.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Selangor Ahmad Azri Zainal Nor ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sehingga hari ini kita masih menggalakkan rakyat Selangor mendaftar skim INSAN Takaful kerana ia masih terbuka untuk semua.

“Bagi mereka yang telah tamat polisi konvensional, mereka masih boleh melakukan pendaftaran menerusi skim INSAN Takaful. Tiada masalah,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak 2024 di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai di sini hari ini yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

INSAN diperkenal pada 2022 bagi melindungi semua penduduk negeri ini seawal usia 30 hari hingga 80 tahun dengan kos premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Menyasar enam juta rakyat, skim itu memberi perlindungan sehingga RM10,000 bagi kes hilang upaya kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Awal Ogos tahun lalu, INSAN ditambah baik dengan menawarkan skim INSAN Takaful yang memberi perlindungan sehingga RM10,000 manakala waris sebanyak RM1,000 jika berlaku kematian.


Pengarang :