AGENDANASIONAL

Op Kejam: Polis tangkap pekerja kebun sawit bunuh majikan

MELAKA, 1 JAN: Seorang pekerja kebun kelapa sawit warga Indonesia ditahan kerana membunuh majikannya, di sebuah rumah di kebun berkenaan di Sungai Udang, di sini, pada 22 Dis lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata suspek lelaki berusia 25 tahun itu berjaya diberkas polis ketika bersembunyi di rumah rakan senegarannya menerusi serbuan Op Kejam di Bandar Sultan Sulaiman, Klang, Selangor pada kira-kira 4 pagi, Sabtu lepas (30 Dis).

Menurut Christopher mayat mangsa lelaki berusia 71 tahun yang lengkap berpakaian itu ditemukan dalam keadaan terlentang dengan dua kesan tikaman di belakang kepala dalam bilik pertama rumah kebun tersebut pada kira-kira 1.20 pagi 27 Dis lepas.

“Pada mulanya mangsa dilaporkan gagal dihubungi anaknya sejak 22 Dis lepas sebelum membuat laporan polis empat hari kemudian dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.

“Namun, mayat mangsa ditemukan ketika pemeriksaan dijalankan bersama anaknya di rumah kebun berkenaan selain mendapati kereta Ford Ranger milik anak mangsa dan beg silang, telefon bimbit serta kad Touch ‘n Go (TnG) Milik mangsa tidak dijumpai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata susulan penemuan mayat mangsa, polis menjalankan Op Kejam bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya bersembunyi selepas menyerbu sebuah rumah berkunci di Klang, Selangor pada Sabtu.

Katanya beberapa barang kes turut dirampas termasuk satu tukul besi dipercayai digunakan dalam kejadian bunuh tersebut.

Christopher berkata siasatan awal mendapati, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari pada 22 Dis lepas, suspek mengaku memukul belakang kepala majikannya dengan tukul sehingga mangsa terjatuh, selepas beliau hilang sabar dengan tindakan warga emas tersebut memarahinya menggunakan bahasa kasar kerana belum menyelesaikan kerja yang diarahkan.

Beliau berkata suspek kemudian mengheret mangsa yang terbaring masuk ke bilik rumah kebun itu sebelum melarikan barangan peribadi mangsa dan mengunci bilik tersebut dengan mangga.

“Suspek melarikan diri menggunakan kereta anak mangsa sebelum menjual telefon bimbit mangsa di sebuah kedai telefon di Bukit Rambai.

“Dia kemudian memandu kereta itu sehingga ke Rembau, Negeri Sembilan sebelum kehabisan minyak lalu meninggalkan kenderaan itu di parkir berhampiran dan kemudian menempah Grab ke terminal bas Tampin untuk ke Klang bertemu rakannya,” katanya.

Beliau berkata suspek ditahan reman tujuh hari bermula 30 Dis lepas bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA


Pengarang :