SHAH ALAM, 22 JAN: Padah membenarkan pembuangan sampah untuk mengurangkan kos tambakan, pemilik tanah di Kampung Sri Sentosa, Ijok dikenakan empat kompaun daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).
MPKS memaklumkan tindakan bawah Undang-Undang Kecil 4 Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah–Sarap (MDKS) 2007 dikeluarkan menerusi operasi bersepadu menggempur tapak pelupusan sampah haram pada 17 Januari.
“Selain itu, tiga notis dikeluarkan mengikut Seksyen 70 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana mendirikan struktur bangunan tanpa mendapatkan kelulusan bertulis daripada pihak MPKS.
“MPKS turut mengarahkan pemilik tanah membuat pembersihan jalan akibat kotoran tanah dari lori yang keluar masuk di hadapan tanah milik masing-masing,” katanya di Facebook.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/421150729_758413382981143_7142981222784149630_n-500x333.jpg.webp)
Operasi selama tiga jam itu turut melibatkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Jabatan Kerja Raya Kuala Selangor, Air Selangor, KDEB Waste Management dan Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kuala Selangor.
Jelasnya, tapak pelupusan sampah yang dibenarkan di Kuala Selangor hanya berada di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram yang menggunakan kedah pelupusan sampah secara sanitari dan terurus.
“Aktiviti tapak pelupusan haram tersebut menyebabkan kekotoran di sepanjang Laluan 54 Jalan Batu Arang, Off Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor.
“Pemilik tanah hendaklah bertanggungjawab untuk menjaga hak milik tanah tersebut daripada diceroboh,” katanya.