Pengunjung melihat Pameran Anak-anak Sidek yang berlangsung sehingga 30 April ini di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Foto Facebook Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT)
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pameran masih berlangsung, seru ibu bapa bawa anak lihat sejarah anak-anak Sidek

SHAH ALAM, 2 JAN: Ibu bapa diseru bawa anak ke Pameran Anak-anak Sidek yang berlangsung sehingga 30 April ini di Muzium Sultan Alam Shah di sini.

EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah berkata hampir 5,000 individu sudah mengunjungi pameran itu yang bermula 1 November lalu.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah meninjau persiapan Pameran Anak-anak Sidek bersama bekas jaguh badminton negara Datuk Misbun Sidek dan Datuk Jailani Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 26 September 2023. Foto Facebook Borhan Aman Shah

“Kita mengalu-alukan orang ramai sama ada dalam mahupun luar Selangor datang ke pameran ini bagi melihat sendiri sejarah, pingat dan medal diterima anak-anak Sidek dalam arena badminton negara.

“Pameran ini juga diadakan bagi memberi semangat kepada legasi anak muda supaya boleh memberi inspirasi untuk menjadi pemain badminton berjaya kelak,” katanya menerusi sesi temubual di rancangan Selamat Pagi Malaysia RTM pagi tadi.

Pengunjung melihat Pameran Anak-anak Sidek yang berlangsung sehingga 30 April ini di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam. Foto Facebook Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT)

Mengulas berhubung pameran itu dianjurkan, Borhan berkata ia tercetus selepas Kerajaan Negeri pernah menganjurkan Pameran Legenda Bola Sepak Negara Dato’ Mokhtar Dahari sebelum ini.

“Kita bincang dengan pihak Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) untuk menganjurkan Pameran Anak-anak Sidek yang menceritakan kisah kejayaan keluarga ini.

“Kemudian kita hubungi Datuk Misbun dan Datuk Jailani. Alhamdulillah, mereka bersetuju untuk beri kerjasama dan akhirnya pameran ini direalisasikan,” katanya.

Misbun (Bun), Razif (Ajib), Jailani (Alan), Rahman (Aman) dan Abdul Rashid (Adul) adalah Lima Sidek bersaudara yang melakar sejarah penting buat Malaysia dalam sukan badminton di mata dunia.


Pengarang :