Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah berdepan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun ketika aksi separuh akhir kejohanan Terbuka Jerman pada 11 Mac 2023. Foto Facebook Team Malaysia
AGENDASUKANKINI

Pearly tampil lebih yakin mulakan kempen Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Setelah pulih daripada beberapa kecederaan dialaminya tahun lepas dan meningkatkan keupayaan fizikalnya, pemain beregu wanita negara Pearly Tan kini lebih yakin untuk menghadapi musim baharu bermula dengan kempen Terbuka Malaysia 2024 yang membuka tirai di Axiata Arena, esok.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata mempertingkatkan latihan fizikal penting dalam usaha beliau bersama gandingannya M.Thinaah memburu penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

“Kondisi badan jauh lebih baik dan yakin, tapi saya perlu lakukan lebih banyak senaman untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi. poada 2024, saya benar-benar mahu bebas daripada kecederaan dan fokus untuk meningkatkan permainan saya langkah demi langkah,” katanya kepada pemberita selepas sesi percubaan gelanggang kejohanan berstatus Super 1000 itu di sini hari ini.

Pearly berkata komunikasi jelas dan fokus adalah penting dalam perlawanan pusingan pertama esok, menentang bintang muda China Liu Sheng Shu-Tan Ning, yang pernah dikalahkan pada dua pertemuan terdahulu.

Pada edisi 2023, Pearly-Thinaah tersingkir awal selepas tunduk kepada wakil Bulgaria Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva pada pusingan pertama.

Kemudian, kecederaan serta keadaan kesihatan memberi kesan kepada Pearly pada 2023, menyebabkan ranking dunia juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu turun kepada kedudukan ke-12 pada Disember berbanding tempat kelima pada Februari tahun lepas.

Sementara itu, Thinaah berharap dapat meneruskan momentum baik mereka di tanah air, menyaksikan mereka muncul naib juara Masters Malaysia pada Mei tahun lepas.

“Saya rasa segalanya baik untuk kami, dan kami gembira bermain di tanah air. Harap dapat memberikan persembahan yang baik dan saling memberi motivasi serta sokongan kepada satu sama lain.

“Bagi musim 2024 ini, saya rasa kami hanya mahu fokus perlawanan demi perlawanan. Kami tidak mahu terlalu jauh merancang, hanya mahu fokus pada setiap mata, setiap perlawanan,” katanya.

Selain Pearly-Thinaah, wakil Malaysia dalam acara beregu wanita turut menyaksikan aksi pemain berpengalaman Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang akan menentang Li Wen Mei-Liu Xuan Xuan dari China, dan gandingan Anna Cheong-Teoh Mei Xing dijadual berdepan Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan pada Rabu.

– BERNAMA


Pengarang :