AGENDANASIONAL

Pegawai Kedutaan Malaysia di Bangkok meninggal dunia

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK, 2 JAN: Penasihat Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) di Kedutaan Malaysia di Bangkok Fadzilah Abu Hasan meninggal dunia di sini semalam.

Fadzilah, 46, dipercayai meninggal dunia ketika tidur di kondominiumnya di Bangkok pada 6 pagi waktu tempatan.

Beliau bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangkok sejak Disember 2022.

Kedutaan sedang membuat persiapan untuk membawa jenazahnya pulangnya ke Malaysia, yang dijadualkan esok. Solat jenazah akan diadakan di Masjid Jawa di Bangkok pada 8 pagi waktu tempatan pada hari sama.

Jenazah dijangka tiba di Malaysia pada 5.30 petang dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Raudhatul Jannah Khariah Masjid Jamiurrahmah, Kampung Limau Manis, Sungai Merab, Kajang selepas solat Maghrib.

Fadzilah meninggalkan dua anak perempuan berusia 18 dan 15 tahun.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel berkata Fadzilah merupakan sumber inspirasi kerana sikap ceria beliau mewujudkan suasana riang di tempat kerja selain memiliki sikap baik hati.

“Merakamkan ucapan takziah dan doa kepada dua anak perempuan Fadzilah dan keluarga dalam masa sukar ini. Semoga mereka mendapat kekuatan dan ketenangan dalam kenangan terindah dan kasih sayang yang menyelubungi mereka.

“Kami bersedih atas kehilangan rakan sekerja yang dikasihi, memberi kesan daripada segi profesional dan peribadi kami. Semangat dan dedikasinya yang tidak berbelah-bahagi menyentuh kami semua,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :