Penghantar makanan, Malynda Harjono memasukkan pek makanan dalam bekas simpanan selepas program Sumbangan p-panggilan Inisiatif RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pekerja p-panggilan boleh langgan pakej Rahmah walau terikat telco sedia ada

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Pemandu dan penunggang p-hailing yang masih terikat dengan pakej kontrak peranti dengan mana-mana syarikat telekomunikasi (telco) masih boleh melanggan Pakej P-Hailing Rahmah dengan membuat langganan pelan sim baharu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam soalan lazim mengenai pakej itu memaklumkam pemandu dan penunggang p-hailing yang kini melanggan dengan mana-mana pelan sim dan terikat dengan pakej enterprise sedia ada juga boleh melanggan pakej itu.

Namun SKMM menjelaskan, ia tertakluk kepada terma dan syarat yang telah dipersetujui antara telco dan penyedia platform p-hailing.

“Pelan Pakej P-Hailing Rahmah ini terbuka kepada semua pemandu dan penunggang p-hailing warganegara Malaysia yang berdaftar di bawah penyedia platform p-hailing yang terlibat dengan syarat langganan adalah tertakluk kepada terma dan syarat telco.

“Pakej ini juga tidak mempunyai kontrak terikat dan pengguna boleh membatalkannya pada bila-bila masa dengan penalti minimum untuk pelan simkad sahaja dan ia ditawarkan bermula hari ini hingga 23 April,” menurut SKMM.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melakukan pelepasan penunggang p-panggilan sempena Majlis Pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah di pekarangan Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri pada 23 Januari 2024. Foto BERNAMA

Menurut agensi itu, pemandu dan penunggang p-hailing yang layak akan dikenal pasti penyedia platform p-hailing masing-masing dan pelawaan untuk melanggan pakej boleh didapati melalui pautan notifikasi aplikasi tanpa memerlukan kehadiran secara fizikal ke cawangan telco memandangkan perkara ini melibatkan urusan perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Sekiranya mereka tidak menerima notifikasi itu, pemandu dan penunggang p-hailing boleh membuat aduan kepada penyedia platform p-hailing masing-masing,” katanya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan pemandu dan penunggang p-hailing boleh menikmati perkhidmatan Internet yang ditawarkan pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB bermula hari ini hingga 23 April depan.

Fahmi berkata pakej berkenaan adalah hasil kerjasama strategik antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G).

– BERNAMA


Pengarang :