Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melakukan pelepasan penunggang p-panggilan sempena Majlis Pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah di pekarangan Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri pada 23 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pekerja p-panggilan boleh nikmati internet serendah RM33, data 40GB

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Pemandu dan penunggang p-panggilan kini boleh menikmati perkhidmatan Internet yang ditawarkan pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB bermula hari ini hingga 23 April depan.

Mengumumkan perkara itu ketika melancarkan pakej p-panggilan Rahmah di Angkasapuri di sini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pakej berkenaan adalah hasil kerjasama strategik antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G).

Beliau berkata kerjasama itu turut melibatkan 16 penyedia platform p-panggilan di negara ini, antaranya FoodPanda, Grab, Bungkusit, Shopee dan Lalamove bagi menghargai jasa golongan pemandu dan penunggang p-panggilan.

“Kerjasama seperti ini kita jalinkan untuk menyediakan pakej berpatutan bagi kategori yang disasar iaitu melibatkan kira-kira 200,000 rider kita,” katanya.

Fahmi berkata usaha yang dilaksanakan itu adalah antara langkah penting kerajaan bagi membantu golongan berkenaan.

Ditanya sama ada pakej itu akan dilanjutkan beliau berkata perkara itu kemungkinan diteliti nanti.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita selepas mendaftarkan diri dengan Identiti Digital Nasional datau MyDigital ID di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 1 Disember 2023. Foto BERNAMA

“Kita akan buka selama beberapa bulan untuk lihat prestasi langganan, dan selepas mungkin beberapa minggu kita akan dapat maklumat terkini.. mungkin selepas Tahun Baharu Cina, dan sekiranya perlu, kita akan cadangkan supaya dilanjutkan,” katanya.

Pakej khas telekomunikasi dengan diskaun istimewa bagi pekerja p-panggilan itu adalah hasil perbincangan bersama ketua-ketua pegawai eksekutif semua syarikat telekomunikasi di negara ini.

Semalam, Fahmi dilapor berkata Kerajaan Madani mendengar keluhan kumpulan pekerja itu dan berharap usaha yang dilakukan kerajaan dapat meringankan kesulitan serta membantu mereka dalam menjalankan tugas setiap hari.

Pakej p-hailing Rahmah juga bertujuan meningkatkan keterhubungan digital penunggang p-panggilan dan membolehkan mereka mengakses maklumat yang diperlukan semasa melaksanakan tugas.

Fahmi berkata pelancaran program ini merupakan manifestasi kegigihan kerajaan dalam memanjangkan rahmat dan penghargaan kepada mereka yang bertugas dalam industri p-hailing.

Katanya ia juga membuktikan komitmen kerajaan dalam menyokong ekonomi digital dan memastikan perkhidmatan penting seperti p-hailing sampai ke serata pelosok negara.

“Kita semua sedia maklum cabaran yang dihadapi oleh penunggang dan pemandu p-hailing yang sering kali terpaksa mengharungi keadaan cuaca yang tidak menentu seperti panas terik dan hujan lebat dalam memberikan perkhidmatan kepada kita semua selaku pengguna.

“Justeru, memahami penat lelah dan rintangan yang dihadapi oleh mereka, adalah penting bagi kerajaan dan pemain industri melakukan apa yang kita mampu untuk meringankan beban yang mereka hadapi dalam melaksanakan tugasan seharian,” katanya.

Menurut Kementerian Ekonomi, ekonomi gig menyumbang kira-kira tujuh peratus kepada keluaran dalam negara kasar keseluruhan negara pada 2021 dan jumlah ini dijangka kekal tinggi pada tahun-tahun akan datang.

Mengulas mengenai pakej 5G Rahmah, Fahmi berkata setakat November 2023, sekitar 50 peratus kumpulan B40 telah mendaftar dengan pakej itu yang diluncurkan beliau pada bulan Ogos.

“Saya akan berbincang dengan pihak MCMC, jika ada keperluan untuk kita lanjutkan pakej 5G Rahmah itu maka kita akan umumkan kemudian.

“Saya difahamkan setakat 31 Disember 2023 jumlah pelanggan 5G di seluruh negara telah mencecah lapan juta akaun dan ini adalah satu peningkatan yang positif, belum lagi mengambil kira penambahan pelanggan setelah kita umumkan tidak ada kos tambahan bagi melanggan pakej 5G,” katanya.

Setakat ini daripada 45 juta pelanggan telco, kira-kira lapan juta melanggan 5G.

-BERNAMA


Pengarang :