SEPANG, 22 JAN: Seorang pekerja pembersihan sanggup mengambil cuti tahunan untuk berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Orang Ramai Kampung Jenderam Hilir di sini hari ini.
Ruslawati Mohd Rashid, 53, berkata beliau berbuat demikian sebaik mendapat hebahan program melalui kumpulan WhatsApp penduduk kampung.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/IMG_3388-e1705905220650-484x500.jpg.webp)
“Saya teruja untuk hadir ke jualan murah hari ini, terus rancang ambil cuti setelah melihat hebahan program melalui sepanduk dipasang sekitar kawasan rumah serta makluman melalui WhatsApp.
“Program jualan murah sangat meringankan beban saya, jika beli di luar hanya mampu untuk barangan kering kerana kos sangat tinggi, tetapi JER saya dapat beli ikan, ayam, daging dan telur,” katanya.
Beliau ditemui pada program peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/IMG_3389-e1705905296815-411x500.jpg.webp)
Warga emas, Bahari Daud, 62, pula berharap program itu dapat dianjurkan lebih kerap terutama ketika Ramadan dan musim perayaan tidak lama lagi kerana ia membantu penduduk berjimat.
“Program ini sangat membantu untuk warga emas seperti saya dapatkan bekalan yang mencukupi serta menjimatkan 30 peratus perbelanjaan berbanding beli di luar,” katanya.
Manakala Norma Salleh, 65, mengakui JER menawarkan produk yang berkualiti dan menjimatkan belanja antara RM100 hingga RM200.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/IMG_3390-e1705905357807-492x500.jpg.webp)
“Sudah 10 kali saya hadir ke JER, kualiti produk yang ditawarkan setanding dengan barangan di luar, selain menjimatkan belanja untuk kegunaan perniagaan saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Jenderam Hilir Husni Ismail berkata kira-kira 2,000 penduduk menerima manfaat JER yang sudah enam kali dianjurkan sejak Ogos tahun lalu.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/01/IMG_3391-e1705905429475-427x500.jpg.webp)
“Saya telah memohon kepada PKPS sejak November lalu susulan permintaan yang tinggi dari penduduk, alhamdulillah mereka hadir hari ini membawa bekalan asas,” katanya.
Telur dan ayam antara produk yang habis terjual dalam tempoh dua jam pada program itu.
Penyelarasnya, Mikael Haikal Amir Iskandar berkata ratusan pengunjung mula beratur sejak 8.30 pagi bagi mendapatkan aneka barangan asas murah.