Aplikasi mobil berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu umat Islam mendalami al-Quran. Foto Facebook Universiti Putra Malaysia
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelajar UPM guna teknologi AI bantu umat Islam dalami al-Quran

SHAH ALAM, 23 JAN: Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan aplikasi mobil berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan umat Islam mendalami al-Quran.

Pengarah Program Kolokium Digital Multimedianya berkata program dengan kerjasama Telaga Biru dan Telaga Biru Digital Sdn Bhd menjadi penanda aras baharu untuk penerbitan melalui teknologi.

“Ia memudahkan orang ramai mendapat maklumat lebih tepat menerusi pembacaan hasil kandungan yang menggunakan teknologi AI,” kata Prof Dr Rahmita Wirza O.K Rahmat di Facebook.

Sementara itu, penuntut Bacelor Sains Komputer (Pengkomputeran Multimedia) Siti Nurnajihah Noor Faizam berkata aplikasi yang dibangunkannya menceritakan kisah gajah dalam surah al-Fil sebagai iktibar.

“Lepas tamat belajar saya harap dapat bantu kanak-kanak dan golongan muda menghayati dan memahami kisah teladan dalam al-Quran menggunakan teknologi AI,” katanya.

Seorang lagi penuntut dalam bidang sama Muhammad Hakim Zulkhainain berkata aplikasi berkenaan turut memperincikan kisah surah al-‘Asr yang menekankan masa dalam kehidupan seharian manusia.

“Saya harap aplikasi yang dibangunkan ini membantu kanak-kanak dan golongan muda untuk lebih berminat mendalami surah-surah lazim al-Quran,” katanya.

 

 

 


Pengarang :