Perarakan pedati emas (kiri) dan pedati perak menghala ke Kuil Arulmigu Balathandayuthapani sempena sambutan Thaipusam pada 24 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelbagai reka bentuk kavadi warnai pekarangan kuil Batu Caves

GOMBAK, 24 JAN: Pelbagai reka bentuk kavadi, laungan “vel vel” dan pemakaian seragam kuning mewarnai pekarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini sempena sambutan Thaipusam yang akan disambut esok.

Ia merupakan sebagai tanda penyucian dan nazar serta memohon restu Dewa Murugan sempena perayaan tersebut.

Tinjauan Bernama turut menyaksikan beberapa penganut Hindu menghadiri upacara menjunjung belanga mengandungi susu atau lebih dikenali ‘pal koodam’ yang akan dicurahkan pada patung Dewa Murugan di kuil itu.

Suri rumah, M Satiavinayagi, 52, yang tinggal di Kajang, Selangor, hadir bersama beberapa ahli keluarganya ke kuil itu untuk memohon dijauhi daripada sebarang penyakit dan meminta diperoleh kejayaan buat anak-anaknya.

“Kalau kita lihat sambutan kali ini lebih meriah berbanding beberapa tahun lepas ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai bimbang untuk keluar. Hari ini saya tengok ramai yang hadir sejak awal pagi lagi dan ada juga pelancong yang datang.

“Harapan saya dan ahli keluarga sewaktu naik ke atas kuil supaya hajat kami diterima dan dijauhi daripada segala penyakit,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Pereka bentuk kavadi, M Ananthan, 46, yang mewarisi perniagaan itu daripada bapanya berkata sambutan terhadap upacara kavadi tahun ini amat memberansangkan selepas menerima puluhan tempahan daripada masyarakat India sekitar Klang.

“Kami menerima pelbagai bentuk tempahan daripada penganut Hindu yang rata-rata sudah maklum bahawa upacara angkat kavadi sesuatu yang sukar tetapi merupakan amalan mulia untuk dipersembahkan kepada dewa Murugan.

“Mereka akan mengarak kavadi sambil diiringi paluan gendang atau ‘urumi melam’ dan laungan vel vel,” katanya.

Dr N Dashini, 31, yang hadir menemani adiknya berusia 28 tahun yang akan memikul kavadi, berkata mereka yang berhajat membawa kavadi hanya akan makan sayur-sayuran sebelum melakukan upacara itu.

“Bagi mereka yang ingin membawa kavadi perlu menghindari segala perbuatan tidak baik dan ada antara mereka yang membuat tindik pada dahi atau lidah sebagai tanda kekuatan sewaktu sembahyang di kuil ini,” katanya.

Sementara itu, orang ramai juga dilihat mula memenuhi pekarangan kuil menanti ketibaan perarakan daripada Sri Maha Mariamman Temple Dhevasthanam, Kuala Lumpur.

Difahamkan perarakan itu membawa patung Murugan Valli Deivanai melalui beberapa jalan di Kuala Lumpur sebelum tamat di kuil ini.

-BERNAMA


Pengarang :