Kerja pembaikan longkang utama (monsoon drain) di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong yang dirakam pada 8 Januari 2024. Foto MBSJ
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pembaikan longkang utama Taman Wawasan capai 9.3 peratus

SHAH ALAM, 9 JAN: Kerja pembaikan longkang utama (monsoon drain) di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong telah bermula dan mencapai 9.3 peratus setakat semalam.

Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata pembaikan itu melibatkan longkang sepanjang 83 meter yang terputus.

“Kerja pemasangan cerucuk keluli telah mencapai pelaksanaan 100 peratus manakala kerja pembaikan longkang utama mencapai 9.3 peratus dan giat diteruskan mengikut perancangan ditetapkan.

“Bagi penstabilan kekal yang melibatkan pembinaan semula parit utama dan struktur jalan dianggarkan siap 30 minggu dari tarikh kerja pembaikan sementara selesai,” katanya menerusi kenyataan.

MBSJ menambah perjumpaan Datuk Bandar Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim dengan penduduk juga diadakan semalam bagi menerangkan kemajuan penambahbaikan tanah runtuh.

“Sesi perjumpaan ini melibatkan sembilan rumah yang diwakili 13 penduduk bersama pihak konsultan yang terlibat dalam projek penambahbaikan.

“MBSJ turut menempatkan sementara tiga keluarga yang terkesan akibat bencana ini di Pangsapuri Permata Sari, Taman Wawasan, Puchong,” katanya.

Perjumpaan Datuk Bandar MBSJ Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim dengan penduduk bagi menerangkan kemajuan penambahbaikan tanah runtuh Taman Wawasan pada 8 Januari 2024. Foto MBSJ.

Kelmarin Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han berkata 775 cerucuk siap dipasang bagi memastikan kestabilan cerun.

Pada 16 Disember, seramai 29 penghuni di sembilan rumah teres kawasan berkenaan diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 kira-kira 7.30 malam turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Pengarang :