Sebahagian penerima hadir menebus baucar Jom Shopping sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Raya Giant Kelana Jaya pada 15 Januari 2023. Foto Lim Yi Wei
ADNSELANGOR

Penduduk kurang mampu terima baucar sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 24 JAN: Sebanyak 400 baucar bernilai RM200 bakal diagih kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras sempena Tahun Baharu Cina bulan depan.

Penyelaras DUN Mohd Khairuddin Othman berharap pemberian bermula awal Februari bakal meringankan beban penerima dalam menyediakan kelengkapan menyambut raya.

“Kita teliti setiap pemohonan dan serahkan kepada yang benar-benar layak. Penerima mestilah dalam kategori berpendapatan rendah berusia antara 21 hingga 59 tahun.

“Mereka juga bukan ahli Skim Mesra Usia Emas atau penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS). Langkah ini dilaksanakan untuk pastikan lebih ramai penduduk dapat dibantu,” katanya.

Sempena sesi baharu persekolahan Mac depan, Mohd Khairuddin menambah hampir 800 murid darjah satu menerima manfaat Program Bantuan Masuk Sekolah (PBMS) untuk membeli kelengkapan.

Tahun ini, seramai 36,326 ahli Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) layak menerima bantuan PBMS meliputi beg sekolah, kelengkapan alat tulis, bekas makanan dan tabung.

Dilancarkan pada 2008, Tawas terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu didaftar sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli menerima RM1,500 apabila berusia 18 tahun.


Pengarang :