Kelab Kompang Qatar bersama penyokong Harimau Malaya terdiri rakyat Malaysia yang menetap di Qatar memeriahkan suasana sebelum pertembungan Malaysia dan Jordan pada perlawanan kumpulan E Piala Asia 2023 di Souq Al Waqif pada 16 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Penyokong Harimau Malaya terbaik di dunia, sanggup berkorban demi pasukan negara

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

DOHA, 20 JAN: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan Malaysia mempunyai penyokong bola sepak antara yang terbaik di dunia.

Beliau berkata ini kerana mereka sanggup berkorban demi memberikan sokongan kepada pasukan negara pada saingan Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di sini.

Hannah menjangkakan kehadiran penyokong negara bertambah pada perlawanan kedua Kumpulan E dengan Malaysia bakal berdepan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hammad, esok.

“Saya tiba di Doha hari ini (semalam) bagi melihat persiapan skuad Harimau Malaya untuk hadapi perlawanan menentang Bahrain. Kita jangkakan sokongan terhadap Harimau Malaya dalam stadium akan lebih hebat kerana dalam penerbangan tadi ramai penyokong Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bersama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin melihat sesi latihan pasukan Harimau Malaya bagi menghadapi Bahrain pada Piala Asia 2023 di Universiti Qatar pada 19 Januari 2023. Foto BERNAMA

“Saya rasa skuad Harimau Malaya mempunyai penyokong terbaik di dunia (kerana) ramai datang dengan kos sendiri dan ambil cuti demi memberi sokongan. Ini adalah penampilan yang sangat penting untuk pengalaman pasukan sebab kali pertama dalam 42 tahun layak secara merit,” katanya ketika ditemui di Universiti Qatar.

Pada masa sama, Hannah berkata beliau meminta pemain berjuang bukan sahaja untuk negara tetapi untuk diri sendiri dan nama baik keluarga.

“Kalau mereka buat demi nama baik keluarga, Malaysia akan dapat manfaat daripada ‘mindset’ seperti itu,” katanya.

Terdahulu, Hannah yang diiringi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin bertemu pemain dan barisan kejurulatihan sebelum meluangkan masa meninjau sesi latihan skuad kendalian Kim Pan Gon itu.

Selepas kekalahan memeritkan kepada Jordan pada aksi pembukaan Isnin lalu (awal pagi Selasa), Malaysia perlu meraih tiga mata ke atas Bahrain jika mahu mencerahkan peluang layak ke pusingan 16 terbaik sebelum bertemu juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari ini.

Pan Gon menyasarkan untuk membawa Malaysia mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik buat julung kali selepas pasukan negara terkandas di peringkat kumpulan pada tiga penampilan sebelum ini termasuk kali terakhir ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.

– BERNAMA


Pengarang :