Peniaga cendol, Siti Syuhada Johari, 31, mendaftar dan mengakses Pangkalan Data Utama (PADU) pada 3 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Perangkaan Selangor buka 62 kaunter, bantu orang ramai daftar Padu

SHAH ALAM, 23 JAN: Jabatan Perangkaan Selangor membuka 62 kaunter di beberapa lokasi terpilih bagi memudahkan orang ramai mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Menerusi hebahan di Facebook, kaunter dibuka sejak semalam hingga 28 Januari meliputi sembilan daerah iaitu Hulu Langat sebanyak 15 kaunter dan sembilan di Sepang.

Petaling, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Gombak masing-masing enam kaunter, Sabak Bernam (empat) dan lima kaunter masing-masing di Klang dan Kuala Langat.

“Untuk maklumat lanjut dan lokasi kaunter terkini, lawati Facebook DOSM Selangor. Orang ramai diminta membawa kad pengenalan, telefon bimbit dan maklumat akaun bank.

“Jika anda ketua isi rumah, maklumat ahli isi rumah juga diperlukan,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Perangkaan Selangor Hartini Yaacob memaklumkan kaunter dibuka bagi memudahkan mereka yang memerlukan bantuan terutama warga emas di luar bandar untuk mendaftar.

Sistem Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari mengandungi profil penduduk untuk membantu kerajaan melaksanakan dasar secara bersasar.

Pendaftaran dan kemas kini maklumat boleh dibuat antara 2 Januari hingga 31 Mac menerusi pautan https://www.padu.gov.my.

Setakat 21 Januari, lebih 1.3 juta rakyat mendaftar dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 262,677 orang diikuti Sarawak (164,179) dan Johor (160,433).


Pengarang :