AGENDAJENAYAH

Pesara rugi lebih RM1.4 juta terpedaya skim saham tipu di Facebook

KUANTAN, 23 JAN: Seorang pesara swasta mendakwa kerugian lebih RM1.4 juta selepas menyertai skim pelaburan saham yang diketahui menerusi akaun Facebook sejak Oktober lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 70 tahun mendakwa berminat untuk menyertai pelaburan itu kerana menjanjikan keuntungan lumayan.

“Mangsa semakin tertarik kerana turut diberikan kelas pelaburan selama lapan bulan secara dalam talian sebelum membuat pelaburan pertama bernilai RM20,000.

“Pelaburan itu, menurut mangsa membawa pulangan sebanyak RM4,000 menyebabkan dia berani mengeluarkan wang simpanan untuk menambah modal,” katanya menerusi kenyataan menerusi kenyataan di sini hari ini.

Yahaya berkata mangsa mendakwa telah membuat 19 kali transaksi pemindahan wang ke lapan akaun diberikan suspek bagi tujuan itu, yang secara keseluruhannya melibatkan bayaran RM1.4 juta.

Mangsa membuat laporan polis di balai polis di Raub, dekat sini semalam, selepas gagal menghubungi suspek bagi mengeluarkan ‘keuntungan’ yang dijanjikan.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang awam untuk berwaspada dan membuat semakan sebelum menyertai pelaburan dalam talian, khususnya yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat transaksi bagi mengurangkan risiko diperdaya.

– BERNAMA


Pengarang :