Tangkap layar video di Tiktok Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang memaparkan detik cemas empat kakitangan jabatan itu apabila kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan air ketika dalam perjalanan keluar dari Kampung Orang Asli Sedohok di Kahang, Kluang pada 10 Januari 2024
AGENDANASIONAL

Petugas Jakoa berdepan detik cemas, kereta dihanyut arus ketika misi bantuan bah

KLUANG, 10 JAN: Empat petugas Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berdepan detik cemas apabila kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dinaiki mereka dihanyutkan air berhampiran Kampung Orang Asli Sedohok dekat sini hari ini.

Pengarah Jakoa Johor Faisal Long berkata insiden yang berlaku pada kira-kira 2 petang itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa apabila mereka sempat menyelamatkan diri.

“Mangsa berkata sebaik tiba di kawasan yang dinaiki air, secara tiba-tiba kenderaan itu bergerak ke kiri sebelum hanyut secara perlahan-lahan.

“Kenderaan itu berhenti kira-kira 10 meter dari jalan selepas tersangkut pada sebatang pokok dan apabila mereka berjaya keluar, kesemua petugas diselamatkan oleh ahli konvoi bantuan yang lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata anggota Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang turut sama dalam konvoi itu membantu mengeluarkan kenderaan pacuan empat roda terbabit dari dalam air.

Terdahulu, keempat-empat mangsa menghantar bakul makanan ke Kampung Orang Asli Sedohok, yang turut disertai Ketua Pengarah Jakoa Datuk Sapiah Mohd Nor, telah menggunakan jalan alternatif dari Batu 17 untuk masuk ke kampung itu.

– BERNAMA


Pengarang :