Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan di Dataran Majlis Perbandaran Klang pada 20 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM gesa pertahan perpaduan, keamanan untuk terus maju

KLANG, 20 JAN: Malaysia perlu terus mempertahan semangat perpaduan dan mengekalkan keamanan yang dibina sejak sekian lama supaya negara terus membangun, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbalahan antara kaum boleh menjejaskan usaha berkenaan termasuk menghalang kemasukan pelabur dan menjejaskan keharmonian dikecapi.

“Kena ingat ini bukan mudah. Beberapa negara di dunia (banyak) berbeza agama dan kaum tetapi tidak banyak yang boleh pertahankan semangat perpaduan dan keamanan.

“Jadi, Malaysia mesti pertahankan rekod ini. Tanpa keamanan dan perpaduan, kita tidak boleh membangun. Kita tidak mungkin berikan sumbangan kalau negara tidak aman,” katanya.

Anwar berucap pada sambutan Pesta Ponggal peringkat kebangsaan 2024 di Padang Chetty di sini, yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan pemimpin lain.

Dalam pada itu, perdana menteri turut mengingatkan semua pemimpin supaya tidak terbawa-bawa sentimen melampau berikutan ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Beliau menjelaskan kerajaan juga menggunakan konsep Madani yang adil untuk semua pihak terutama dalam menyelesaikan tuntutan pelbagai kaum ketika ini.

“Bila saya sebut ini bukan mudah kerana ada rakan-rakan dari kaum saya menyerang dan tidak adil pada mereka kerana kita ini hanya tunduk pada kaum lain. Saya tidak mahu jawab.

“Saya mahu fokus selesaikan masalah rakyat, misalnya isu kemiskinan di Klang. Apa yang kita hendak lakukan kerana masalah rakyat masalah kita,” ujarnya.


Pengarang :