Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Kerajaan segera laksana skim upah lebih adil untuk penjawat awam

PUTRAJAYA, 2 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah untuk penjawat awam akan disegerakan.

Beliau berkata skim itu tidak dapat dilaksanakan Kerajaan Perpaduan tahun lalu disebabkan kedudukan kewangan negara ketika itu, selain mewarisi hutang tinggi.

“Kita memutuskan untuk menyegerakan pelaksanaan skim upah yang lebih adil dan munasabah kepada penjawat awam, dan saudara harus percaya.

“Kita tidak menyegerakannya pada tahun lalu kerana kita mewarisi kedudukan kewangan dan hutang negara ketika itu masih RM1.5 trilion dan defisit 5.6 peratus,” kata beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Anwar berkata demikian ketika berucap melancarkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia di sini hari ini.

Pada 14 Julai lalu kerajaan bersetuju mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup dan tiadanya semakan gaji dibuat sejak 2012.

Susulan itu, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) diadakan pada 7 Ogos lalu bagi membincangkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam.

– BERNAMA


Pengarang :