Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari 2024 di Puspanitapuri pada 8 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM nekad terus berucap petik ayat Quran, akan rujuk Jakim

PUTRAJAYA, 8 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan terus menggunakan petikan ayat al-Quran dan tafsiran dalam ucapannya, namun akan merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang kontroversi.

Beliau berkata petikan ayat al-Quran yang dilontarkan pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum ini mencetuskan kontroversi, bagaimanapun beliau bersyukur kerana insiden itu menimbulkan minat masyarakat terutama anak muda untuk membaca dan menelaah al-Quran secara lebih mendalam.

“Saya anggap penting bulan-bulan lain saya baca ayat al-Quran dan tafsir supaya menggalakkan perbahasan, tapi saya akan rujuk kepada Jakim terlebih dahulu supaya (dapat) mengelakkan kontroversi,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan JPM di sini hari ini.

Pada perhimpunan bulanan JPM Disember tahun lepas, Anwar dilaporkan memetik kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi dalam surah al-Kahfi yang mengundang reaksi ramai serta dijadikan polemik politik.

Walaupun menyifatkan serangan terhadapnya keterlaluan susulan kontroversi itu, Anwar bagaimanapun berkata mana-mana pemimpin yang memberi ucapan sebaiknya harus mempunyai rujukan al-Quran.

Anwar turut menjelaskan beliau mengaitkan kisah berkenaan pada ketika itu bertujuan menyeru penjawat awam agar sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dan akhlak ketika menjalankan tugas.

-BERNAMA


Pengarang :