Penganut Hindu menaiki 272 anak tangga bagi menunaikan upacara keagamaan sempena perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves pada 18 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Polis kawal keselamatan, pastikan sambutan Thaipusam esok lancar

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Polis akan membuat rondaan aman dalam setiap lapan jam bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang sambutan Thaipusam di Batu Caves, esok, yang dijangka dihadiri ramai pengunjung.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi berkata rondaan lapan jam berkenaan adalah untuk satu syif penugasan.

“Saya minta orang ramai yang hadir ke Batu Caves berwaspada dan menjaga barang berharga. Saya berharap sambutan Thaipusam esok berjalan lancar dan tiada insiden tidak baik berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas beramah mesra bersama pengunjung di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata 1,600 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran sambutan serta keselamatan orang ramai, selain beberapa pusat kawalan statik disediakan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan dan membuat laporan polis.

– BERNAMA


Pengarang :