Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tiga, kanan) dan Ahli Dewan Negeri Kajang David Cheong (tiga, kiri) bergambar bersama penerima bantuan di pejabat Dewan Undangan Negeri Kajang pada 9 Januari 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Prihatin mangsa kebakaran, MBI hulur RM12,000 bantu enam keluarga

HULU LANGAT, 9 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menghulur bantuan tunai RM12,000 kepada enam mangsa kebakaran di Taman Bukit Mewah dan Kampung Sungai Sekamat, Kajang, hari ini.

Ketua tanggungjawab sosial dan komunikasi korporatnya berkata bantuan RM2,000 untuk setiap keluarga sebagai tanda prihatin selepas berdepan musibah yang berlaku antara November hingga Disember lalu.

“Kerajaan Negeri melalui MBI sentiasa bersedia membantu mangsa yang diuji dengan musibah. Insya-Allah kita cuba sedaya upaya meringkan beban mereka yang terkesan.

“MBI menyediakan peruntukan sejumlah RM1 juta sepanjang tahun ini bagi membantu mangsa bencana seperti kebakaran, banjir, ribut dan tanah runtuh,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian sumbangan dibuat bersama wakil rakyat Kajang David Cheong di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, di sini.

Sementara itu David merakamkan penghargaan kepada MBI atas sumbangan wang tunai itu dan diharap sedikit sebanyak dapat menampung keperluan mangsa kebakaran.

“Selain bantuan MBI, pusat khidmat DUN Kajang turut memberi bantuan awal RM500 kepada mangsa. Kita juga ada memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana ada mangsa dalam kalangan warga emas,” katanya.


Pengarang :