Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad menyumbang kelengkapan bayi ketika program sambutan bayi tahun baru 2024 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 1 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program ziarah medik diteruskan, lawat pesakit kronik di hospital

KLANG, 1 JAN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) meneruskan Program Ziarah Medik dengan mengunjungi pesakit di hospital bagi setiap daerah bermula tahun ini.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata berbanding sebelum ini, program dilaksana dengan menjelajah ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melawat pesakit-pesakit kronik di kediaman.

“Sebelum pandemik Covid-19, kita pernah mengadakan lawatan ke hospital, tetapi susulan penularan wabak kita hentikan seketika kerana khuatir menjadi pembawa selain terikat dengan polisi hospital.

“Namun, kini kita kembalikan semula ziarah ke hospital memandangkan ada keperluan untuk turun berbanding melawat ke rumah. Lawatan juga akan diadakan di wad-wad tertentu tetapi memfokuskan kepada ibu dan kanak-kanak,” katanya.

Beliau ditemui selepas hadir ke program sambutan kelahiran bayi tahun baharu 2024 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang yang turut dihadiri Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan antara program telah dirancang ialah Darul Ehsan Berselawat yang memulakan siri jelajahnya pada Februari di Sabak Bernam.

“Selain berselawat, kita juga menyediakan pelbagai program lain bersama rakyat seperti memasak dan pelbagai aktiviti menarik yang lain.

“Program bantuan lain seperti Kembali ke Sekolah dan musim perayaan juga masih diteruskan dan kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dalam menjayakan program tersebut,” katanya.

Program Ziarah Medik yang memasuki tahun ketiga itu mengutamakan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).

Sebanyak RM200,000 diperuntuk untuk program ziarah merangkumi dua fasa, yang mana setiap pesakit menerima bantuan RM250 setiap seorang.

 


Pengarang :