Keadaan kediaman rakyat Palestin di kem pelarian Jabalia di utara Semenanjung Gaza pada 1 November 2023 sehari selepas serangan Israel ke atas kem berkenaan. Foto REUTERS
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Puluh tahun dicengkam derita, Palestin terus dizalimi Israel

Palestin menderita puluhan tahun. Tetapi 2023 membuka tirai kesengsaraan yang lebih getir dalam tempoh lebih singkat. Puluhan ribu nyawa melayang akibat serangan Israel di Gaza sejak hampir tiga bulan lepas.

Serangan kumpulan jihad Harakatul Muqawwamatul Islamiah (Hamas) melalui udara dan darat pada 7 Oktober mencipta sejarah, mengejutkan negara Zionis dan dunia.

Namun serangan balas Israel mengorbankan 22,185 nyawa (setakat 2 Januari, hari ke-88 konflik sekarang).

Serangan udara yang bertubi-tubi, khususnya minggu-minggu awal, mengorbankan wanita dan kanak-kanak apabila kem pelarian, sekolah, masjid dan hospital dijadikan sasaran bom.

Sekurang-kurangnya 57,000 lagi cedera dalam siri konflik terbaharu yang mencipta rekod kekejaman. Penduduk dunia dan pemimpin beberapa negara termasuk bukan Islam mula melihat kezaliman tersebut.

Israel melancar serangan darat hingga ke selatan semenanjung kecil itu, dengan penduduk 2.3 juta orang, walau mereka mengarahkan warga Gaza berlindung di kawasan tersebut.

Anak muda Palestin berjalan di hadapan rumah yang musnah akibat serangan Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 30 Oktober 2023. Foto REUTERS

Lebih 100 kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terkorban dalam serangan yang tidak pernah disaksikan seganas itu. Agensinya menaikkan bendera separuh tiang pada 13 November sebagai tanda ingatan kepada mangsa.

Kira-kira 70 wartawan, tidak termasuk keluarga dekat mereka, terbunuh (setakat 23 Disember). Satu rekod kematian yang paling ramai dalam tempoh paling singkat dalam sejarah perang.

Selain demonstrasi di seluruh kota besar dunia dan negara umat Islam, pemimpin politik, aktivis dan seniman mempersoal kenapa tindakan sekejam itu tidak disekat dan pelakunya dibawa ke muka pengadilan.

Serangan Hamas asalnya dilakukan sebagai reaksi terhadap pencerobohan masjid al-Aqsa dan rampasan tanah yang berterusan di Tebing Barat. Namun semua cerita luka ini bukan baharu.

Sejak tertubuhnya negara haram Israel pada 1947 melalui keputusan PBB yang membahagi Palestin yang asal kepada negara Zionis Yahudi dan negara Arab Palestin bawah “mandat Britain” yang menjaga wilayah jajahannya itu.

Setahun kemudian, apabila Britain melepaskan mandatnya, Israel mengisytihar kemerdekaan. Peristiwa ini digelar Nakbah, atau malapetaka besar, dan bermulalah segala jenis kesengsaraan yang berlarutan hingga saat ini.

Hingga kini, Israel berterusan menceroboh tanah penduduk Palestin, merampas harta benda mereka. Warga Palestin dinafikan, dihalau sewenang-wenangnya dan dipenjara jika cuba melawan.

Penduduk Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 17 Oktober 2023. Foto REUTERS

Makin zalim

Sehari selepas serangan Hamas pada 7 Oktober, Israel memperhebat serangan. Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu berikrar pejuang Hamas dan Briged al-Qassam akan menanggung akibat dahsyat.

Situasi di Tebing Barat juga menjadi lebih buruk. Lebih banyak serbuan dan serangan yang dilakukan bagi membolehkan penempatan secara haram penduduk Yahudi berkembang di tengah-tengah perkampungan warga Palestin.

Keadaan bertambah runcing apabila Israel mula membuat kepungan menyeluruh ke atas Semenanjung Gaza. Bekalan elektrik, air dan komunikasi turut terputus.

Bekalan makanan dan ubat lambat disalurkan. Begitu juga bekalan bahan api. Pendek kata penduduk Gaza benar-benar dihimpit sengsara.

Pengerusi Muslim Care Malaysia Palestin Dr Ahmad Abu Ayesh, yang berada di Gaza pada minggu pertama serangan, menganggap tindakan rejim Zionis sebagai “paling bersejarah dan gila”.

Terus angkuh, Israel pada 13 Oktober mengarahkan penduduk utara Gaza mengosongkan penempatan mereka dan berpindah ke bahagian selatan dalam tempoh 24 jam. Alasannya, tentera Israel akan menyerang di situ.

Setelah peperangan berlangsung lebih tiga minggu, hospital di Semenanjung Gaza lumpuh sepenuhnya, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Hospital al-Shifaa yang menjadi tempat perlindungan 45,000 orang dan merawat lebih 600 pesakit cedera di ambang kemusnahan kerana kehabisan bekalan perubatan dan katil.

Penduduk Palestin melihat kediaman mereka yang musnah dalam serangan Israel, di tengah-tengah gencatan senjata sementara antara Hamas dan Israel, di Khan Younis, Semenanjung Gaza pada 24 November 2023. Foto REUTERS

Rakyat seluruh dunia mula berang dengan kerakusan Israel. Jutaan mula berhimpun di jalanan sebagai tanda sokongan kepada Gaza.

Pada hari ke-43 serangan (18 November), lebih 12,000 rakyat Palestin terbunuh termasuk lebih 8,300 wanita dan kanak-kanak. Walaupun terus dihunjam bom, 807,000 rakyat Palestin tidak meninggalkan utara Gaza seperti diarah Israel.

Tiba-tiba pada 22 November, Israel dan Hamas bersetuju melancarkan gencatan senjata untuk tempoh beberapa hari. Ia membolehkan bantuan kemanusiaan dan pertukaran 50 tebusan Israel dengan 150 tahanan Palestin.

Laith Othman, remaja Palestin berusia 17 tahun di penjara Israel, yang dibebaskan menggambarkan sel penjaranya “malapetaka”. Tahanan dibiarkan kelaparan dan tidak dibenarkan meninggalkan sel.

Tamatnya gencatan pada 30 November, Zionis terus membedil Gaza keesokannya. Hari kedua serangan, 184 penduduk lagi terbunuh dan sekurang-kurangnya 589 orang tercedera.

Jumlah ini meningkat kepada sekurang-kurangnya 15,000 orang sejak 7 Oktober.

Majlis Keselamatan PBB pada 8 Disember mengumumkan anggotanya akan mengundi bagi meluluskan resolusi desakan gencatan senjata segera dilaksanakan.

Namun Amerika Syarikat menolak cadangan itu, kononnya mendakwa draf resolusi itu tergesa-gesa dan tidak seimbang.

Setakat 8 Disember, angka kematian rakyat Palestin mencecah 20,000 mangsa termasuk 8,000 kanak-kanak dan 6,200 wanita. Jumlah mangsa sebenarnya lebih tinggi kerana beribu-ribu orang masih hilang dan tertimbus di bawah runtuhan.

 


Pengarang :