Kenderaan elektrik (EV), Kia EV6 dipamerkan sempena Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pusat penyelidikan rangsang ekonomi, galak industri kenderaan elektrik

SHAH ALAM, 23 JAN: Kerajaan Negeri bercadang membina pusat penyelidikan pemanduan sebelah kanan (RHD) bagi menyokong pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) negara.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata perancangan itu bakal menjadikan Selangor peneraju awal ekosistem EV, di samping memberi peluang kepada rakyat tempatan meneroka industri terbabit.

Beliau berkata usaha berkenaan juga sebahagian agenda membekalkan peluang kerja berkemahiran dan berpendapatan tinggi melalui sektor automasi dan pendigitalan.

“Dalam masa sama, ia mampu meningkatkan produktiviti dan Keluaran Dalam Negara Kasar negeri. Kita harap pelaburan untuk pusat penyelidikan ini dapat direalisasikan,” katanya kepada Selangorkini.

Sze Han turut yakin inisiatif itu akan membuahkan hasil dan memberi manfaat besar kepada banyak pihak memandangkan industri EV berkembang pesat di seluruh dunia.

Selangor giat memperkasa industri EV termasuk bakal membangunkan makmal mobiliti dengan sasaran pembinaan 10,000 stesen pengecas menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

November tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya komited memudahkan pertumbuhan industri EV bagi menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai sektor.


Pengarang :