Pengurus Bahagian Korporat Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Muhammad Hafiz Bahari (kiri) menyerahkan cek cura bantuan membaik pulih masjid pascabanjir kepada wakil Masjid Al-Ahmadiah Mukim Teluk Renjuna dan Masjid As-Solihin Mukim Bendang Pak Yong di Tumpat, Kelantan pada 20 Januari 2024. Foto Facebook
AGENSISELANGOR

PWS sumbang RM40,000 bantu dua masjid terjejas bah di Kelantan

SHAH ALAM, 22 JAN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyumbangkan wakaf fisabilillah kepada dua masjid di Kelantan dengan masing-masing menerima RM20,000.

Agensi itu memaklumkan serahan disampaikan Pengurus Bahagian Korporat PWS Muhammad Hafiz Bahari kepada wakil Masjid Al-Ahmadiah Mukim Teluk Renjuna dan Masjid As-Solihin Mukim Bendang Pak Yong.

“Misi bantuan anjuran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bertujuan membantu meringankan beban pihak pengurusan untuk membaik pulih kedua-dua masjid tersebut yang terjejas ekoran banjir pada Disember tahun lalu,” menurut PWS di Facebook.

PWS menyeru turut orang ramai menunaikan wakaf dengan urusan wakaf tunai boleh dilakukan menerusi pautan fpx.wakafselangor.gov.my

Sementara itu, sumbangan wang tunai RM75,000 dan 500 pek makanan asas bernilai RM25,000 daripada Baitulmal Mais turut diberikan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Dana berkenaan adalah dari peruntukan Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, Lembaga Zakat Selangor, PWS, Yayasan Islam Darul Ehsan, Bakti Suci Holdings Sdn Bhd dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.


Pengarang :