Penduduk setempat menyertai majlis rewang sempena program Kita Madani Daerah Hulu Langat anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor di Agora Night Market, Taman Sri Naning, Dusun Tua pada 5 Mei 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Rewang komuniti dekati penduduk PPR, sebar maklumat program negeri

SHAH ALAM, 4 JAN: Program rewang khas untuk penduduk projek perumahan rakyat (PPR) dan pangsapuri lama akan diadakan dalam masa terdekat bagi menghebahkan maklumat berkaitan program negeri.

Dikenali sebagai Rewang Komuniti Strata, EXCO perumahan berkata program melibatkan agensi negeri menumpukan kawasan sekitar Lembah Klang terutama sekitar Ampang dan Hulu Langat.

Menurut Borhan Aman Shah, program dijangka selama dua hari itu meliputi pelbagai aktiviti antaranya gotong-royong memasak kenduri pada sebelah malam melibatkan semua penduduk.

“Esoknya majlis dimulakan dengan solat Subuh berjemaah dan sukan rakyat. Kita juga adakan pameran inisiatif Kerajaan Negeri supaya penduduk mendapat manfaat,” katanya ketika dihubungi.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Borhan Aman Shah berucap ketika Majlis Pelancaran PKNS Home Buyer Programme di Tapak Karnival Stadium Shah Alam pada 28 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Borhan yang juga EXCO kebudayaan berkata Pameran Anak-Anak Sidek yang berlangsung di Muzium Sultan Alam Shah ketika ini menjadi tumpuannya dalam suku pertama tahun ini.

Beliau berkata pameran yang berlangsung mulai 1 November hingga 30 April ini merupakan langkah negeri untuk menaikkan semangat dan inspirasi kepada anak muda terutama pemain badminton.

“Pameran mendapat sambutan menggalakkan dan hampir 5,000 berkunjung dalam tempoh dua bulan. Kita jangkakan pameran ini akan menerima lebih 10,000 pengunjung sepanjang diadakan.

“Perasmian akan dibuat minggu depan. Lebih menarik akan disertai legenda badminton negara yang juga adik beradik Datuk Misbun Sidek, Datuk Jailani dan Datuk Razif,” katanya.

Koleksi piala, pingat, gambar dan barangan milik anak-anak Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar dipamerkan sepanjang enam bulan penganjuran program berkenaan.

 


Pengarang :