Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 30 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ribuan rakyat Pahang tunggu berangkatan pulang Agong, Raja Permaisuri

KUANTAN, 30 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, selepas tamat tempoh lima tahun bersemayam di Istana Negara.

Pesawat khas membawa Seri Paduka berdua yang berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mendarat di sini pada pukul 11.55 pagi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut oleh anakanda Seri Paduka, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, kerabat diraja, dan barisan pemimpin kerajaan negeri, diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta ribuan rakyat negeri Pahang.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya berangkat ke Pentas Diraja sebelum kawalan kehormatan mempersembahkan ‘Hormat Diraja’ disusuli lagu Negaraku dan lagu negeri ‘Allah Selamatkan Sultan Kami’, dengan diiring tembakan meriam 21 das oleh Rejimen ke-7 Artileri Diraja, Kem Batu 3, Temerloh.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bergambar pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara pada 30 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA

Al-Sultan Abdullah yang memakai ‘muskat’ iaitu pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama, diikuti bacaan doa oleh Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan persembahan ‘Hormat Diraja’ buat kali kedua serta lagu Negaraku dan Allah Selamatkan Sultan Kami.

Seri Paduka berdua kemudiannya turun dari Pentas Diraja dan bersalaman dengan tetamu sebelum berangkat ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Jalan Teluk Sisek yang terletak kira-kira 20 kilometer bagi majlis santapan.

Ribuan rakyat Pahang turut berhimpun di beberapa lokasi di sepanjang jalan sejak awal pagi lagi untuk meraikan keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang merupakan Sultan dan Tengku Ampuan Pahang.

Perarakan diraja kemudian diiring sejauh satu kilometer bermula dari Jalan Mahkota oleh pasukan yang menaiki 16 ekor kuda dari Kelab Polo Diraja Pahang dan dua ekor gajah bernama ‘Alam’ dan ‘Sanum’, yang didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Temerloh dekat sini.

Al-Sultan Abdullah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16 menamatkan pemerintahan hari ini, selepas memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 30 Jan 2019 dan digantikan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

-BERNAMA

 

 


Pengarang :