EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim menerangkan produk eko dan agropelancongan di Selangor kepada ejen pelancongan dari Thailand yang melawat Anjung Utara di Pejabat ADN Sekinchan, Sabak Bernam pada 9 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sasar 5.6 juta kunjungi Selangor, agropelancongan tarikan baharu

SABAK BERNAM, 12 JAN: Lebih 5.6 juta pengunjung tempatan dan luar negara disasar melawat Selangor sepanjang tahun ini menerusi pelbagai promosi menarik, kata EXCO pelancongan.

Dato’ Ng Suee Lim menjelaskan sasaran itu menghampiri tambahan sejuta pelancong berbanding tahun lalu sebanyak 4.8 juta, sebagai pecutan akhir Tahun Melawat Selangor 2025.

“Kita lihat kerja promosi yang dilakukan sebelum ini menerusi pelbagai medium akan memberi dampak positif termasuk penambahan jumlah pelancong pada tahun ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui sempena lawatan ejen pelancongan Thailand yang mengadakan lawatan tiga hari dua malam sekitar Anjung Utara dari Kuala Selangor hingga Sabak Bernam.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata lokasi agropelancongan antaranya perkampungan buah naga di Sepang selain pusat rekreasi sekitar Kuala Kubu Bharu diramal menarik lebih ramai pengunjung.

“Kita turut jangka kawasan utara Selangor akan terus mendapat perhatian tahun ini seperti Avani Sepang Goldcoast, Sepang serta beberapa pusat pelancongan di Morib,” katanya.

Bermula kelmarin hingga hari ini, seramai 40 ejen pelancongan negara gajah putih itu menjadi kumpulan pertama dari luar negara mengadakan lawatan sekitar Anjung Utara.

Kawasan dikunjungi seperti Bukit Malawati, Pantai Redang, Sky Mirror dan Pusat Konservasi Kelip-kelip.


Pengarang :