Dekan Fakulti Seni Visual Komunikasi dan komputer Universiti Selangor (Unise) Prof. Madya Ts Dr Wan Azlan Wan Hassan (tengah) bersama pelajar selepas tamat Majlis Graduasi Sekolah Digital Selangor bagi Program Kecerdasan Buatan (AI) Nusantara di Double Tree Hilton, Shah Alam pada 18 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sekolah Digital Selangor latih 600 pelajar IPT teroka bidang AI, teknologi

SHAH ALAM, 18 JAN: Seramai 600 pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka dipilih menyertai kursus dan latihan sektor kecerdasan buatan (AI) di Sekolah Digital Selangor (SDS).

Dato’ Menteri Besar menjelaskan pelajar berkenaan akan menjalani kursus 60 jam selama sebulan bersama penggiat industri bagi mengasah kemahiran AI, sekali gus memenuhi pasaran kerjaya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sesi pertama bermula November lalu melibatkan 31 pelajar tahun akhir Universiti Selangor (Unisel) seterusnya menjalani latihan industri di syarikat berkaitan.

“Sesi seterusnya akan melibatkan pelajar dari Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Monash, Universiti Sunway dan Universiti Nottingham.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Graduasi Sekolah Digital Selangor bagi Program Kecerdasan Buatan (AI) Nusantara di Double Tree Hilton, Shah Alam pada 18 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kerjasama pintar ini memberi nilai tambah kepada pelajar tahun akhir untuk kerjaya masing-masing. Saya percaya langkah ini akan melengkapkan ekosistem pasaran kerjaya,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan sijil kepada 31 pelajar sempena majlis graduasi SDS sesi pertama di Hotel Double Tree By Hilton di sini hari ini.

Menerusi Belanjawan Selangor 2022, Amirudin mengumumkan penubuhan sekolah berkenaan dengan kerjasama Unisel dan The Hive Asia Tenggara bagi memenuhi keperluan pasaran kerja sektor digital.

Dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), pusat berkenaan melibatkan pembelajaran peringkat sijil, diploma sehingga ijazah sarjana.

Penjana Nasional memberi pelaburan sepadan dengan Kerajaan Selangor dan The Hive, selain turut menawarkan tenaga pengajar, pembinaan sistem pembelajaran hibrid serta pemasaran digital kondusif.

 


Pengarang :