Kakitangan Tourism Selangor bergambar di hadapan reruai sempena Forum Pelancongan Asean di Laos dari 22 hingga 26 Januari 2024. Foto ihsan Tourism Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor perluas misi jualan ke Laos, tingkat kemasukan pelancong asing

SHAH ALAM, 29 JAN: Tourism Selangor memperluas misi jualan ke Laos menerusi Forum Pelancongan Asean (ATF) pada 22 Januari bagi menarik 5.6 juta pelancong ke negeri itu menjelang akhir tahun.

Unit Komunikasi Korporatnya memaklumkan forum selama lima hari menghimpunkan pemain utama industri pelancongan antarabangsa untuk meningkatkan aliran kemasukan pengunjung ke negara Asean.

Jelasnya, beberapa produk pelancongan ikonik negeri dipamer seperti Geopark Gombak Hulu Langat, Jungle School Gombak, Permatang Kuarza Gombak, SplashMania, Sky Mirror dan FunPark.

“Produk pelancongan yang dibawa kali ini memfokuskan kepada tarikan ekopelancongan dan taman tema dan diperkenal kepada lebih 400 pembeli dan penjual antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Tourism Selangor mengadakan sesi niaga ke niaga (B2B) dengan kerjasama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Persatuan Pelancongan Asean sempena Forum Pelancongan Asean di Laos dari 22 hingga 26 Januari 2024. Foto ihsan Tourism Selangor

Tourism Selangor juga menyasar strategi untuk menarik minat negara tertentu antaranya Indonesia dalam pelancongan perubatan, Brunei (beli-belah) dan Singapura (gastronomi dan ekopelancongan).

Menurut agensi itu, sesi niaga ke niaga (B2B) turut diadakan dengan kerjasama Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Persatuan Pelancongan Asean.

Jelasnya, sesi tersebut melibatkan pemain utama pelancongan dari Indonesia, Thailand dan Filipina dan membuka jalan untuk kerjasama melalui promosi silang sepanjang 2024.

“Lebih banyak acara dan kerjasama promosi silang akan diadakan bagi mencapai sasaran untuk menarik lebih tujuh juta pelancong menjelang Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya.

Sempena forum berkenaan, Hotel Wyndham Acmar Klang dan Hotel Sunway Resort turut menerima anugerah Asean Mice Venue Standard dalam kategori ruang mesyuarat.

Pengiktirafan sempena Asean Tourism Standard (2024-2026) turut diberikan kepada Pusat Konvensyen Setia City untuk dalam kategori tempat pameran.


Pengarang :