Seramai 23 individu termasuk lima wanita menerima watikah pelantikan sebagai ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang disampaikan Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim pada 18 Janauri 2024. Turut menyaksikan majlis Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain Che Ali. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Seramai 23 individu angkat sumpah ahli majlis MBSJ, tekad selesai isu penduduk

SUBANG JAYA, 18 JAN: Seramai 23 individu termasuk lima wanita mengangkat sumpah sebagai ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi penggal 2024-2025 hari ini.

Semua ahli majlis termasuk enam lantikan baharu menerima watikah yang disampaiikan Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Berucap pada majlis, Mohd Fauzi mengingatkan mereka supaya memberi perkhidmatan yang cemerlang serta segera menyelesaikan isu dibangkitkan penduduk.

“Gabungan antara yang lama dan baharu diharapkan dapat membantu MBSJ merealisasikan Pelan Strategik Subang Jaya 2020-2025,

“Semua ahli majlis termasuk kakitangan MBSJ perlu mendahului aduan iaitu segera selesaikan masalah supaya menjadi pihak berkuasa tempatan terbaik dan dihormati masyarakat,” katanya ditemui pemberita selepas majlis angkat sumpah di ibu pejabat MBSJ hari ini.

Sementara itu, ahli majlis baharu dilantik Tey Boon Kiat berkata beliau mahu memberi keutamaan isu masyarakat khususnya berkaitan pembaikan longkang dan melupuskan tapak sampah haram.

“Saya pernah menjadi pembantu kepada wakil rakyat Seri Kembangan Wong Siew Ki dan apabila dilantik sebagai ahli majlis ia seperti kelebihan kerana tahu isu yang dekat dengan masyarakat.

“Selain itu, saya juga mahu mencantikkan kawasan di kampung baru Seri Kembangan yang dilihat boleh dikomersial dan mampu menjadi contoh kepada kampung baru lain,” katanya.


Pengarang :